fb fb fb fb fb

Krisis pendidikan dan kesihatan Argentina cetus protes jalanan

FOTO REUTERS

BUENOS AIRES, 13 September - Ribuan penunjuk perasaan membanjiri pusat bandar Buenos Aires bagi membantah langkah pemotongan perbelanjaan kesihatan dan pendidikan yang dilaksanakan Presiden ultraliberal, Javier Milei, selepas beliau mengalami kekalahan dalam pilihan raya baru-baru ini.

Demonstrasi itu tercetus sehari selepas Milei membatalkan dua undang-undang yang diluluskan Kongres, yang sepatutnya memulihkan dana universiti awam dan hospital pediatrik yang kini berada dalam krisis.

Universiti awam dan Hospital Garrahan turut mengumumkan mogok serta perhimpunan baharu minggu depan, ketika Kongres yang dikuasai pembangkang dijangka mencabar veto presiden tersebut.

Pekerja Hospital Garrahan menyifatkan tindakan veto itu sebagai tidak bertanggungjawab dan memberi kesan serius terhadap institusi, dengan lebih 240 profesional telah meninggalkan hospital berkenaan berikutan gaji yang merosot teruk.

Protes pada Jumaat disertai doktor, guru, pelajar dan kesatuan pekerja yang berarak dari bangunan Kongres menuju Plaza de Mayo di hadapan Rumah Kerajaan, sambil membawa bendera serta sepanduk menentang Milei.

Dalam pada itu, Milei turut membatalkan undang-undang pengagihan dana yang dituntut negeri-negeri sejak berbulan lalu, dengan alasan kerajaan pusat perlu mengekalkan lebihan fiskal negara.

Keadaan itu menjejaskan pasaran minggu ini dan menimbulkan keraguan terhadap masa depan rancangan ekonomi liberal Milei, yang berjaya menurunkan kadar inflasi sejak hujung 2023 tetapi memberi kesan besar kepada kuasa beli pesara, guru dan pekerja kesihatan.

Presiden berhaluan kanan itu kini bergantung pada kemenangan pilihan raya separuh penggal Oktober depan bagi menambah kerusi di Kongres, namun kegawatan politik, ditambah tuduhan rasuah, menimbulkan persoalan tentang prestasinya menjelang pengundian.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE