fb fb fb fb fb

Fitch turunkan penarafan kredit Perancis ke paras terendah

FOTO HIASAN

PARIS, 13 September - Agensi penarafan kredit Fitch menurunkan penarafan kedaulatan Perancis kepada A+ pada Jumaat, paras terendah pernah dicatatkan negara itu, sekali gus menyingkirkan status AA- ketika Paris berdepan krisis politik dan hutang kian meningkat.

Tindakan tersebut meningkatkan tekanan terhadap perdana menteri baharu, Sebastien Lecornu yang masih dalam usaha membentuk kabinet serta merangka belanjawan 2026 untuk dibentangkan di Parlimen yang berpecah.

Menurut Fitch, penarafan terbaharu itu mengekalkan prospek stabil, namun keputusan dibuat kerana tiada hala tuju jelas mengenai usaha penstabilan hutang dalam tahun-tahun mendatang.

Penganalisis menjelaskan pasaran sudah menjangka penurunan tersebut, tetapi masa pengumuman dianggap kurang sesuai kerana menguatkan kebimbangan pelabur terhadap keupayaan Perancis mengawal defisit belanjawan yang kini tertinggi dalam kalangan negara zon euro.

Awal minggu ini, Presiden Emmanuel Macron melantik Lecornu, selepas Parlimen menolak François Bayrou dalam undi tidak percaya berhubung cadangan penjimatan belanjawan berjumlah 44 bilion euro.

Lecornu merupakan Perdana Menteri kelima di bawah Macron dalam tempoh kurang dua tahun, berdepan cabaran besar untuk meluluskan belanjawan yang dikecilkan, isu sama yang pernah menggugat kedudukan dua pendahulunya.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE