CHICAGO, 13 September - Seorang ejen Jabatan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) menembak mati seorang lelaki ketika operasi menahannya di kawasan Chicago pada Jumaat, menurut kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) dan pihak berkuasa tempatan.
Mangsa dikenali sebagai Silverio Villegas-Gonzalez, seorang tukang masak berusia 38 tahun dari Mexico, ditembak selepas memandu keretanya ke arah pegawai ketika sekatan jalan dilakukan. DHS memaklumkan seorang ejen ICE turut cedera selepas diseret kenderaan mangsa, namun kini dilaporkan stabil.
Konsulat Jeneral Mexico di Chicago mengesahkan identiti mangsa dan sedang berhubung dengan keluarga beliau, selain menuntut maklumat lanjut daripada pihak ICE.
Insiden itu berlaku ketika pentadbiran Presiden Donald Trump melancarkan operasi penguatkuasaan imigresen dikenali Operation Midway Blitz di Chicago dan beberapa kawasan di Illinois.
Ahli Kongres AS, Jesus “Chuy” Garcia, Delia Ramirez dan wakil Illinois, Norma Hernandez mengecam tindakan ICE, menyifatkannya sebagai peningkatan keganasan yang membahayakan komuniti.
Wakil rakyat negeri Illinois, Lilian Jimenez, turut mengkritik agensi tersebut, menegaskan cara operasi itu mengancam keselamatan masyarakat setempat.
Gabenor Illinois, JB Pritzker, pula menuntut penjelasan penuh dan telus mengenai insiden berkenaan bagi memastikan akauntabiliti.
Dalam pada itu, Presiden Trump memberi isyarat kemungkinan menghantar pasukan Pengawal Kebangsaan serta pegawai persekutuan ke Chicago untuk menangani isu jenayah dan imigresen haram, meskipun langkah itu menerima bantahan hebat daripada masyarakat tempatan.-REUTERS