fb fb fb fb fb

Kim Jong-un gesa pencegahan perang lebih praktikal, menyerang

(FOTO REUTERS)

SEOUL, 11 April - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menggesa untuk memperluaskan keupayaan pencegahan perang oleh negara itu dengan kaedah yang 'lebih praktikal dan menyerang' bagi berdepan apa yang disifatkan tindakan pencerobohan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan, kata media kerajaan itu pada Selasa.

Jong-Un membuat kenyataan itu pada mesyuarat Suruhanjaya Tentera Pusat semalam bagi membincangkan usaha berterusan dalam meningkatkan pencegahan perang negara itu untuk mengatasi tindakan imperialis AS dan pengkhianat boneka, Korea Selatan yang semakin meningkat bagi melancarkan perang pencerobohan.

(FOTO REUTERS)

Korea Utara bertindak balas terhadap siri latihan ketenteraan bersama sekutu itu baru-baru ini bertujuan mempersiapkan perang habis-habisan dan memaksa Pyongyang meneroka tindakan praktikal yang kuat, termasuk pilihan ketenteraan.

Jong-Un mengarahkan supaya pencegahan perang negara itu diperkukuh dengan meningkatkan kelajuan dan dalam cara lebih praktikal dan menyerang.

Tentera Korea Selatan dan AS menjalankan latihan tahunan sejak Mac, termasuk latihan udara dan laut yang membabitkan kapal pengangkut pesawat AS dan pengebom B-1B dan B-52 serta latihan pendaratan amfibia berskala besar pertama dalam tempoh lima tahun.

Korea Utara juga menjalankan pelbagai aktiviti ketenteraan sejak beberapa minggu lalu, mendedahkan hulu peledak nuklear baharu yang lebih kecil, menguji apa yang dinamakan dron serangan bawah air berkeupayaan nuklear dan menembak peluru berpandu balistik antara benua yang mampu menyerang mana-mana kawasan di AS.-AFP

Media Baharu