fb fb fb fb fb

Filipina, Amerika Syarikat adakan latihan ketenteraan bersama

(FOTO AFP)

MANILA, 11 April - Filipina dan Amerika Syarikat mengadakan latihan ketenteraan bersama terbesar pada Selasa ketika sekutu lama itu berusaha untuk mengatasi ketegasan China yang semakin meningkat di rantau itu.

Hampir 18,000 tentera mengambil bahagian dalam latihan tahunan yang digelar Balikatan atau "berganding bahu" dalam bahasa Filipina yang pertama kalinya akan menyertakan latihan tembakan di Laut China Selatan yang didakwa dimiliki oleh Beijing sepenuhnya.

(FOTO AFP)

Latihan tersebut menyusul selepas tiga hari operasi ketenteraan China yang menyasarkan Taiwan yang dianggap sebagai sebahagian daripada wilayah China.

Latihan bersama itu turut melibatkan helikopter tentera yang akan ditempatkan di hujung utara pulau utama Luzon, hampir 300 kilometer dari Taiwan.

Ini merupakan kali pertama latihan seumpama itu diadakan di bawah Presiden Ferdinand Marcos, yang telah berusaha untuk mengukuhkan hubungan dengan Amerika Syarikat selepas pendahulunya, Rodrigo Duterte memutuskan hubungan tersebut.

"Melalui latihan ini, tentera Filipina dan AS akan mempertajam kebolehkendalian kami, meningkatkan kecekapan kami dan melengkapkan keupayaan kami melalui kerjasama, memastikan kami bersedia untuk bertindak balas terhadap cabaran dunia sebenar bersama-sama," kata komander Sayap Pesawat Marin AS Pertama, Mejar Jeneral Eric Austin.

Beberapa bulan kebelakangan ini, Manila dan Washington telah bersetuju untuk memulakan semula rondaan maritim bersama di Laut China Selatan dan mencapai perjanjian untuk memperluaskan jejak tentera AS di Filipina yang telah menimbulkan kemarahan China.-AFP

Media Baharu