fb fb fb fb fb

Pembaca berita AI diperkenal di Kuwait

(FOTO AFP)

KUWAIT CITY, 11 April - Sebuah syarikat media Kuwait memperkenalkan pembaca berita maya yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) dengan perancangannya untuk diletakkan sebagai pembaca berita dalam talian.

'Fedha' membuat penampilan di akaun Twitter Kuwait News pada Sabtu dengan menggambarkan seorang wanita yang memakai jaket hitam dan kemeja-T putih.

"Saya Fedha, penyampai pertama di Kuwait yang bekerja dengan kecerdasan buatan di Kuwait News. Apakah jenis berita yang anda sukai? Mari kita dengar pendapat anda," katanya dalam bahasa Arab klasik.

Laman Kuwait News bergabung dengan Kuwait Times yang diasaskan pada 1961 sebagai akhbar harian pertama dalam bahasa Inggeris di rantau itu.

Timbalan Ketua Pengarang bagi kedua-dua agensi itu, Abdullah Boftain berkata langkah itu adalah ujian bagi mengenal pasti 'kandungan baru dan inovatif' yang boleh ditawarkan oleh AI.

(FOTO AFP)

"Pada masa akan datang Fedha boleh menggunakan loghat Kuwait dan menyampaikan buletin berita di akaun Twitter yang mempunyai 1.2 juta pengikut.

""Fedha ialah satu nama lama Kuwait yang popular. Ia merujuk kepada besi perak. Kami sering membayangkan robot berwarna perak dan diperbuat daripada logam, jadi kami gabungkan kedua-duanya," tambah Abdullah.

Abdullah berkata, rambut penyampai berita yang berwarna keperangan serta warna mata yang terang mencerminkan penduduk Kuwait dan ekspatriat yang rencam di negara tersebut, yang kaya dengan minyak.

"Fedha mewakili setiap orang," katanya.

Video permulaan Fedha berdurasi 13 saat itu dibanjiri pelbagai reaksi di media sosial, termasuk daripada para wartawan.

Walaubagaimanapun, ia juga mencetuskan kebimbangan mengenai penyebaran maklumat yang salah, ancaman terhadap pekerjaan tertentu serta integriti seni.

Kuwait menduduki tempat ke 158 daripada 180 negara dan wilayah dalam Indeks Kebebasan Akhbar Reporters Without Borders (RSF) 2022.-AFP

Media Baharu