fb fb fb fb fb

Penutupan Kerajaan AS hampir tamat, Trump kekal tegas polisi imigran

Presiden AS, Donald Trump / REUTERS

WASHINGTON, 10 November - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Ahad menyatakan bahawa penutupan kerajaan mungkin hampir diselesaikan, dengan memberitahu wartawan “nampaknya kita semakin hampir.”

Trump menegaskan beliau tidak akan meluluskan sebarang dana besar bagi golongan yang digambarkan sebagai “tahanan” atau “imigran tanpa dokumen”, dan mendakwa pihak Demokrat memahami pendirian itu.

Kenyataan Trump itu dikeluarkan ketika penutupan kerajaan memasuki hari ke-40 yang terpanjang dalam sejarah AS, menyebabkan pekerja persekutuan terjejas serta gangguan terhadap bantuan makanan, taman negara dan perjalanan udara. Pegawai alam sekitar dan perjalanan memberi amaran bahawa kekurangan kakitangan di kawalan trafik udara berpotensi mengganggu perjalanan sempena Thanksgiving.

Ahli Senat menjangkakan undian pada Ahad malam untuk memajukan rang undang-undang yang telah diluluskan Dewan Perwakilan, dan akan dipinda untuk menggabungkan langkah pembiayaan jangka pendek sehingga Januari 2026 dengan tiga rang undang-undang peruntukan tahunan penuh, kata Ketua Majoriti Senat, John Thune.

Pakej pindaan itu masih perlu diluluskan Dewan Perwakilan sebelum dihantar kepada Presiden Trump untuk ditandatangani, satu proses yang dijangka mengambil beberapa hari.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE