fb fb fb fb fb

Kiev 'dihujani' puluhan dron Rusia, seorang maut

Foto Reuters

KIEV, 26 September- Seorang terbunuh dan beberapa infrastruktur di Ukraine rosak akibat serangan udara Rusia pada Khamis.

Menurut pihak berkuasa, tentera Rusia melancarkan 78 buah dron dan enam peluru berpandu dalam serangan ke atas wilayah itu, berjam-jam lamanya.

Bagaimanapun, pertahanan udara Kiev berjaya menjatuhkan 66 buah dron serta empat peluru berpandu.

"Seorang wanita terbunuh dalam serangan peluru berpandu di Odesa di selatan Ukraine manakala lapan lagi cedera dalam serangan bom di bandar tenggara Zaporizhzhia," kata menteri dalam negeri, Ihor Klymenko di media sosial.

Ketua pentadbiran tempatan, Serhiy Popko berkata serangan dron tersebut turut memusnahkan ibu kota Kiev, membabitkan kerosakan 20 buah kereta dan struktur bangunan.

"Sebahagian bandar barat Ivano-Frankivsk terputus bekalan elektrik, selepas serangan Rusia," kata gabenor wilayah, Svitlana Onyshchuk.

Rusia kerap menyerang Ukraine dengan dron dan peluru berpandu, sejak konflik tercetus pada Februari 2022.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM