WASHINGTON, 19 Februari- Gergasi rangkaian restoran makanan segera, KFC, akan memindahkan ibu pejabatnya di Amerika Syarikat dari Louisville, Kentucky, ke Plano, Texas.
Langkah itu adalah sebahagian daripada rancangan Yum! Brands untuk menempatkan dua ibu pejabat jenamanya di AS, iaitu di Texas dan California.
“Keputusan strategik ini melibatkan pemindahan kakitangan pejabat korporat KFC AS dari Louisville, Kentucky, ke ibu pejabat global KFC dan Pizza Hut di Plano, Texas,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kakitangan bekerja secara jarak jauh di AS juga akan diminta berpindah ke kampus kerja masing-masing.
Pemindahan kira-kira 100 jawatan korporat KFC AS dijangka mengambil masa enam bulan.
Sementara itu, dua jenama lain bawah Yum! Brands, iaitu Taco Bell dan Habit Burger & Grill, akan terus beroperasi dari ibu pejabat mereka di Irvine, California.
Walaupun berpindah, Yum! Brands dan Yayasan KFC masih mengekalkan pejabat korporat di Louisville.
Yum! Brands dan anak syarikatnya kini memiliki lebih 61,000 restoran di lebih 155 negara dan wilayah, termasuk jenama seperti KFC, Taco Bell dan Pizza Hut.-AFP