fb fb fb fb fb

Keuntungan Volkswagen jatuh mendadak, jualan kenderaan merosot

Foto AFP

FRANKFURT, 30 April- Syarikat kereta gergasi Jerman, Volkswagen (VW) melaporkan pada Selasa bahawa keuntungannya jatuh mendadak pada awal tahun ini, susulan jualan kenderaan yang merosot.

Keuntungan bersih berjumlah 3.7 bilion euro ($4.0 bilion) direkodkan dari Januari hingga Mac, turun lebih 20 peratus daripada tahun sebelumnya.

Menurut firma data kewangan FactSet, angka itu lebih tinggi daripada 3.3 bilion euro yang dijangkakan oleh penganalisis.

Jumlah jualan adalah 75.5 bilion euro, turun sedikit daripada tahun sebelumnya, lebih baik daripada yang disasarkan.

"Keputusan suku pertama kami menunjukkan permulaan yang perlahan untuk tahun ini. Kami tetap yakin dapat mencapai sasaran kewangan kami untuk 2024."

"Pelancaran lebih 30 model baharu serta program penjimatan yang diumumkan sebelum ini akan meningkatkan VW seiring kemajuan tahunannya," kata Arno Antlitz, ketua pegawai kewangan Volkswagen, yang 10 jenamanya terdiri daripada Porsche hingga Seat dan Skoda.

Volkswagen menjual 2.1 juta kenderaan pada suku pertama, turun dua peratus daripada tahun sebelumnya.

Jualan meningkat di Asia-Pasifik dan Amerika Selatan tetapi merosot di Eropah dan Amerika Utara.

Peningkatan dalam kos tetap, antara beban yang dihadapi syarikat pembuat kereta terkemuka itu.

Bagaimanapun, syarikat automotif itu berjaya mengesahkan prospeknya untuk tahun 2024 sekali gus yakin, dengan sasaran hasil jualan meningkat sehingga lima peratus.

Volkswagen sedang menghadapi pelbagai cabaran, persaingan sengit termasuk daripada pesaing baharu dari pasaran China, peralihan yang mahal kepada kenderaan elektrik yang bergerak perlahan.

Tahun lepas, ia mengumumkan rancangan untuk program penjimatan 10 bilion euro untuk meningkatkan keuntungan dan telah menangguhkan rancangan untuk mengurangkan tenaga kerjanya pada tahun-tahun akan datang.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM