NAIROBI, 30 April- Usaha menyelamat dipergiat pihak berkuasa Kenya pada Selasa dalam mencari sekurang-kurangnya 91 orang yang hilang dalam banjir besar.
Kementerian dalam negeri dalam kenyataan memaklumkan, setakat ini, seramai 46 orang terbunuh pada pagi Isnin akibat banjir kilat lumpur di bandar Mai Mahiu, kawasan tengah Kenya.
Mangsa yang terselamat di Mai Mahiu menggambarkan air yang deras telah menghanyutkan rumah, kereta dan landasan kereta api.
"Apabila saya membuka pintu, air mencurah-curah masuk dan melalui dapur."
"Suami saya berjaya keluar. Anak-anak perempuan saya yang berada di bilik sebelah, telah dihanyutkan keluar akibat air deras," kata penduduk Anne Gachie.
Data semasa kementerian merekodkan bahawa 53 orang di Mai Mahiu dilaporkan hilang namun, sumber lain iaitu Palang Merah Kenya mencatatkan data 76 orang yang hilang.
Secara keseluruhannya, sekurang-kurangnya 169 orang maut di seluruh Kenya akibat hujan lebat dan banjir sejak bulan lalu selain lebih 185,000 orang hilang tempat tinggal akibat bencana tersebut.
Menurut saintis, situasi berkenaan berlaku susulan perubahan iklim, menyebabkan kejadian cuaca ekstrem yang lebih teruk dan kerap.
"Di daerah timur Garissa, empat orang terbunuh apabila bot mereka terbalik pada hujung minggu dan 23 yang lain diselamatkan daripada banjir, turut melaporkan 16 orang hilang," kata kementerian dalam negeri dalam kenyataanya.
Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 120 orang terbunuh di Kenya akhir tahun lalu, akibat banjir dan fenomena cuaca El Nino.
Hujan itu menyusuli kemarau terburuk yang pernah dialami oleh sebahagian besar Afrika Timur dalam beberapa dekad.- REUTERS