SEMENANJUNG GAZA, 4 November - Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus terkejut dengan serangan maut Israel ke atas ambulans berhampiran hospital terbesar Gaza pada Jumaat.
Seorang wartawan AFP melihat beberapa mayat di sebelah ambulans yang rosak di luar hospital Al-Shifa di Gaza, yang sesak dengan orang awam yang mencari perlindungan daripada pengeboman Israel serta mereka yang cedera.
Ghebreyesus berkata beliau "sangat terkejut dengan laporan mengenai serangan ke atas ambulans yang memindahkan pesakit yang berhampiran dengan hospital Al-Shifa di Gaza, yang membawa kepada kematian, kecederaan dan kerosakan".
"Kami mengulangi, pesakit, pekerja kesihatan, kemudahan dan ambulans mesti sentiasa dilindungi sepanjang masa," tulis ketua WHO itu di X.
Kerajaan Hamas berkata tentera Israel menyerang "konvoi ambulans yang sedang membawa mangsa yang cedera" dari Kota Gaza ke Rafah di selatan wilayah itu.
Kementerian Kesihatan Gaza mengumumkan "beberapa orang terbunuh dan puluhan yang lain cedera dalam serangan Israel di pintu masuk hospital Al-Shifa".
Hospital Al-Shifa mempunyai kadar penghuni katil sebanyak 164 peratus, menurut WHO.
Kira-kira 16 hospital di seluruh Gaza tidak lagi berfungsi kerana kerosakan akibat serangan dan kekurangan bahan api, kata Kementerian Kesihatan.-AFP