fb fb fb fb fb

Lawatan ke China langkah positif stabilkan hubungan dua hala Australia, China - Albanese

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese / Foto Reuters

SYDNEY, 4 November - Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata lawatannya ke China untuk bertemu dengan Presiden, Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Qiang menandakan “langkah yang sangat positif” dalam menstabilkan hubungan dua hala.

Albanese akan menjadi pemimpin Australia pertama melawat China sejak 2016, sebahagian daripada usaha untuk memperbaiki hubungan yang terjejas sejak beberapa tahun akibat pertikaian mengenai firma telekomunikasi China Huawei, pengintipan dan COVID-19.

“Hakikat bahawa ia adalah lawatan pertama dalam tujuh tahun bersama rakan dagangan utama kami adalah satu langkah yang sangat positif, dan saya berharap perbincangan dan dialog yang membina dengan Presiden Xi dan Perdana Menteri Li semasa lawatan saya,” kata Albanese di Darwin.

Albanese telah mengambil pendekatan untuk menstabilkan hubungan dengan China sejak memegang jawatan tahun lalu.

China telah menarik balik sebahagian besar blok perdagangan yang dikenakan dalam pertikaian diplomatik 2020 yang menelan belanja A$20 bilion dalam eksport komoditi dan makanan.

Pemimpin Australia itu akan menghadiri pameran import terkemuka China di Shanghai, yang akan dirasmikan oleh Li, esok.

Albanese akan bertemu Xi di Beijing pada Isnin dan akan membangkitkan kebimbangan Perdana Menteri Li mengenai ketegangan yang semakin meningkat di Laut China Selatan.

Albanese turut akan membangkitkan kes penulis Australia Yang Hengjun, yang dipenjarakan di Beijing selama empat tahun atas tuduhan mengintip.

"Kes itu perlu diselesaikan," kata Albanese.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN