fb fb fb fb fb

Ketua Polis Seoul didakwa kerana insiden rempuhan maut Halloween

Pasukan penyelamat dan bomba di tempat kejadian di mana puluhan orang cedera dalam rempuhan semasa meraikan Halloween di Seoul, Korea Selatan, 30 Oktober 2022/ REUTERS

SEOUL, 20 Januari- Ketua Polis Seoul didakwa atas tuduhan melakukan kecuaian berhubung kejadian rempuhan maut Halloween yang mengorbankan hampir 160 orang, pada 29 Oktober 2022.

Pada malam kejadian itu, puluhan ribu orang, kebanyakannya berusia antara 20 hingga 30-an menikmati perayaan percutian pasca pandemik COVID-19 di Itaewon.

Menurut Pejabat Pendakwa Daerah Barat Seoul, tertuduh, Kim Kwang-ho yang merupakan Ketua Agensi Polis Metropolitan Seoul, didakwa atas tuduhan kecuaian profesional yang mengakibatkan kecederaan atau kematian.

Sebagai ketua polis beliau "tidak mengambil langkah yang perlu, seperti mengerahkan pasukan polis yang mencukupi dan memastikan perintah serta penyeliaan yang teratur pada hari kejadian.

"Langkah itu tidak diambil walaupun tertuduh dapat meramalkan risiko bahaya yang boleh berlaku daripada kesesakan di kawasan hiburan berkenaan," katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan kenyataan itu, Kwang-ho bersama ketua Balai Polis Yongsan dan ketua pejabat Wad Yongsan yang kini dalam perbicaraan, secara kolektif dituduh menyebabkan kematian 158 individu dan kecederaan kepada 312 mangsa akibat kecuaian profesional.

Pada Januari tahun lalu, Kim dan 22 pegawai lain dari polis, penyelamat dan pejabat daerah dibawa kepada pihak pendakwaan oleh pasukan penyiasat polis khas atas dakwaan penglibatan mereka dalam kelemahan gerak kerja kerajaan terhadap insiden terbabit.

Sebelum ini, pihak pendakwaan meneruskan perbicaraan ketua balai polis di daerah Yongsan di Seoul, termasuk Itaewon, dan pejabat Wad Yongsan, namun tidak mendakwa Kwang-ho selama lebih setahun.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI