SINGAPURA, 17 Februari – Ketua pembangkang Singapura, Pritam Singh, didapati bersalah pada Ahad atas dua pertuduhan berbohong kepada jawatankuasa parlimen dalam usaha membantu seorang ahli partinya menutup pembohongan berhubung keterangan saksi palsu.
Keputusan itu berpotensi menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang bakal diadakan sebelum November tahun ini.
Singh, 48, yang merupakan Setiausaha Agung Parti Pekerja (Workers’ Party), didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Singapura dalam satu kes yang menjadi tamparan hebat kepada parti pembangkang negara itu.
Hakim Luke Tan dalam penghakimannya berkata Singh gagal mengambil langkah yang mencukupi untuk memastikan ahli parlimen baharu, Raeesah Khan, mengaku bahawa beliau telah berbohong di parlimen.
Malah, mahkamah menerima keterangan Khan yang mendakwa Singh pernah memberitahunya supaya “membawa pembohongan itu ke kubur.”
Hukuman ke atas Singh akan ditetapkan pada tarikh lain, dengan sabitan kesalahan itu berkemungkinan besar menjejaskan peluangnya untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang bakal berlangsung.
Di bawah perlembagaan, seseorang yang didenda sekurang-kurangnya S$10,000 (AS$7,400) atau dipenjara sekurang-kurangnya satu tahun akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya atau memegang kerusi parlimen selama lima tahun.
Singh kini berdepan hukuman maksimum tiga tahun penjara dan denda sehingga S$7,000 bagi setiap pertuduhan, namun pihak pendakwaan sebelum ini menyatakan mereka akan menuntut hukuman denda.
Kes itu berpunca daripada pembohongan Raeesah Khan di parlimen pada 2021, apabila beliau mendakwa seorang pegawai polis mengeluarkan “komen tidak sensitif” terhadap seorang mangsa rogol wanita yang didakwa ditemaninya untuk membuat laporan polis.
Namun, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam, kemudian mendedahkan tiada rekod dalam fail polis mengenai kejadian tersebut, menyebabkan Khan akhirnya mengaku bahawa beliau telah mereka cerita itu.
Singh didakwa cuba meremehkan peranannya dalam kes berkenaan dengan memberitahu jawatankuasa parlimen bahawa beliau tidak menyedari pembohongan Khan, sesuatu yang dipertikaikan oleh mahkamah.
Dalam pilihan raya umum 2020, Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang telah memerintah Singapura sejak 1959 mengekalkan dominasi dengan memenangi 83 daripada 93 kerusi yang dipertandingkan.
Namun, Parti Pekerja mencuri perhatian apabila memperoleh 10 kerusi, pencapaian terbaiknya sejak Singapura mencapai kemerdekaan pada 1965.
Pimpinan parti itu sebelum ini menyatakan harapan untuk meningkatkan jumlah kerusi mereka dalam pilihan raya akan datang, yang juga bakal menjadi ujian pertama bagi Perdana Menteri baharu, Lawrence Wong.-AFP