fb fb fb fb fb

Diplomasi Ukraine: Eropah perlu bertindak lebih tegas

Keith Kellogg / Foto Reuters

PARIS, 17 Februari – Peningkatan kepantasan dalam usaha diplomasi berkaitan Ukraine menuntut Eropah untuk bertindak lebih aktif dan berkesan, kata seorang pegawai kepresidenan Perancis menjelang rundingan tidak rasmi antara beberapa pemimpin utama Eropah di Paris, hari ini.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengejutkan sekutu Eropah dalam NATO dan Ukraine minggu lalu apabila beliau mengumumkan bahawa beliau telah mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, tanpa berunding dengan mereka dan akan memulakan proses damai.

Utusan Trump ke Ukraine, Keith Kellogg, turut mencetuskan kejutan di Eropah pada Sabtu apabila beliau menyatakan bahawa benua itu tidak akan diberi tempat dalam rundingan damai tersebut, walaupun Washington telah menghantar soal selidik kepada ibu negara Eropah bagi menilai sumbangan mereka dalam jaminan keselamatan kepada Kiev.

Dalam soal selidik enam perkara yang dilihat oleh Reuters pada Ahad, Amerika Syarikat bertanya kepada sekutu Eropah dalam NATO mengenai keperluan mereka daripada Washington bagi menyertai usaha keselamatan Ukraine.

"Kami percaya bahawa, akibat daripada percepatan dalam isu Ukraine dan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Amerika, Eropah perlu bertindak lebih banyak, lebih baik, dan secara lebih bersepadu demi keselamatan kolektif kita," kata pegawai berkenaan kepada pemberita.

Puluhan sidang kemuncak yang diadakan sebelum ini memperlihatkan Kesatuan Eropah (EU) yang terdiri daripada 27 negara sering dilihat teragak-agak, tidak bersatu, serta gagal merangka pelan konkrit untuk menamatkan perang di Ukraine dan menangani Rusia, meskipun konflik itu telah memasuki tahun ketiga.

Pemimpin dari Jerman, Itali, Britain, Poland, Sepanyol, Belanda, dan Denmark – yang akan mewakili negara-negara Baltik dan Scandinavia – dijangka hadir bersama kepimpinan EU dan Setiausaha Agung NATO dalam pertemuan kali ini.

"Inisiatif ini merupakan satu peluang kerana ia boleh membantu mempercepatkan pengakhiran perang di Ukraine, tetapi kita masih perlu mencapai kata sepakat mengenai syarat yang membolehkan perang ini ditamatkan," kata pegawai itu.

Perbincangan itu juga akan meneliti "jaminan keselamatan yang boleh diberikan oleh Eropah dan Amerika, sama ada secara bersama atau berasingan."

Beberapa negara dikatakan tidak berpuas hati kerana mesyuarat tersebut hanya melibatkan pemimpin terpilih dan bukan sidang kemuncak penuh EU, menurut pegawai EU.

Bagaimanapun, pegawai kepresidenan Perancis menjelaskan bahawa mesyuarat itu akan membantu memudahkan perbincangan seterusnya di Brussels dan NATO.

"Semua pihak sepatutnya dapat menyertai perbualan ini," katanya.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN