fb fb fb fb fb

Guterres suarakan kebimbangan di Venezuela

Antonio Guterres / Foto AFP

NEW YORK, 21 September – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyatakan kebimbangannya kepada Presiden Nicolas Maduro mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia di Venezuela dalam perbualan telefon pertama mereka sejak Pilihan Raya Presiden yang dipertikaikan pada 28 Julai lalu.

Kedua-dua pemimpin tersebut membincangkan situasi politik yang genting di Venezuela.

Guterres menyuarakan kebimbangannya terhadap laporan keganasan selepas pilihan raya dan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata Guterres menekankan pentingnya menyelesaikan sebarang pertikaian politik secara aman melalui dialog yang tulen dan inklusif.

Presiden Maduro, yang diisytiharkan sebagai pemenang pilihan raya dengan 52 peratus undi oleh Majlis Pilihan Raya Kebangsaan (CNE), turut memberi penjelasan selama 15 minit mengenai "perjuangan menentang fasisme" dan "syaitan", yang merujuk kepada gerakan pembangkang.

Pihak pembangkang membantah keputusan pilihan raya tersebut, mendakwa calon mereka, Edmundo Gonzalez Urrutia, yang kini mencari suaka di Sepanyol, memenangi lebih 60 peratus undi.

Beberapa negara enggan mengiktiraf kemenangan Maduro dan meminta CNE menerbitkan butiran lengkap keputusan undi, yang belum dilakukan.

Tujuh negara di benua Amerika iaitu Argentina, Kanada, Chile, Ecuador, Guatemala, Paraguay, dan Uruguay telah meminta Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva untuk menyiasat pelanggaran hak asasi manusia di Venezuela yang didakwa boleh dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Sekurang-kurangnya 27 orang dilaporkan terbunuh dan 192 cedera dalam tindakan keras terhadap protes selepas pengumuman kemenangan Maduro.

Sebanyak 2,400 orang telah ditangkap, menurut sumber rasmi.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN