fb fb fb fb fb

Jepun arah pemindahan di kawasan gempa selepas hujan lebat

Pihak berkuasa Jepun mengarahkan puluhan ribu penduduk di wilayah Ishikawa, yang terjejas akibat gempa bumi untuk berpindah / Foto AFP

TOKYO, 21 September - Pihak berkuasa Jepun mengarahkan puluhan ribu penduduk di wilayah Ishikawa, yang terjejas akibat gempa bumi untuk berpindah hari ini selepas hujan lebat menyebabkan paras sungai meningkat, mencetuskan kebimbangan banjir.

Menurut seorang pegawai tempatan kepada AFP, tiga sungai di wilayah tersebut melimpah ke kawasan sekitarnya, dengan pihak berkuasa sedang menilai kerosakan yang berlaku pada bangunan dan infrastruktur.

Agensi Meteorologi Jepun telah mengeluarkan amaran tahap tertinggi bagi Ishikawa, menyatakan situasi tersebut sebagai ancaman nyawa.

Penduduk di bandar Wajima dan Suzu, kira-kira 30,000 orang, telah diarahkan untuk berpindah, menurut pegawai tempatan.

Rakaman yang disiarkan oleh NHK, penyiar awam Jepun, menunjukkan keseluruhan jalan di Wajima ditenggelami air.

Wajima dan Suzu adalah antara kawasan yang paling teruk terjejas oleh gempa bumi besar pada Hari Tahun Baru yang menyebabkan sekurang-kurangnya 236 kematian di bahagian tengah Jepun.

Wilayah tersebut masih merasakan kesan daripada gempa bumi berkekuatan 7.5 magnitud yang meruntuhkan bangunan, memusnahkan jalan raya, dan mencetuskan kebakaran besar.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Jepun sering mengalami hujan lebat yang luar biasa di beberapa bahagian negara, menyebabkan banjir dan tanah runtuh yang kadangkala membawa kepada korban nyawa.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN