fb fb fb fb fb

Kempen Harris belanja hampir tiga kali ganda berbanding Trump

Kamala Harris / Foto Reuters

WASHINGTON, 21 September – Kempen pilihan raya Kamala Harris telah membelanjakan hampir tiga kali ganda daripada saingannya, Donald Trump, pada bulan Ogos.

Ini memberi kelebihan kewangan kepada Demokrat menjelang Pilihan Raya Presiden pada 5 November, menurut penyata kewangan yang difailkan pada Jumaat.

Kedua-dua kempen kini berada di peringkat akhir persaingan Presiden yang sengit.

Harris, Naib Presiden AS, yang melancarkan kempen pada bulan Julai selepas Presiden Joe Biden menamatkan pencalonan semula dan memberikan sokongan, melaporkan perbelanjaan sebanyak AS$174 juta kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan bulan lalu.

Sebaliknya, kempen Trump melaporkan perbelanjaan sebanyak AS$61 juta.

Walaupun Harris mendapat kelebihan dari segi kewangan, kedudukan dalam tinjauan antara kedua-dua calon masih rapat, termasuk di negeri-negeri medan pertempuran yang berpotensi menentukan pemenang.

Pada bulan Ogos, kedua-dua, Harris dan Trump melaporkan kebanyakan perbelanjaan digunakan untuk iklan, manakala selebihnya untuk perhimpunan, perjalanan dan gaji kakitangan kempen.

Kempen Harris juga melaporkan sumbangan sebanyak AS$75,000 kepada Detroit Unity Fund, sebuah pertubuhan bukan keuntungan yang bertujuan meningkatkan pengundian rakyat kulit hitam di Michigan, salah satu negeri penting dalam pilihan raya itu.

Kemasukan Harris dalam pencalonan beberapa minggu selepas Biden menunjukkan prestasi kurang memuaskan dalam debat menentang Trump, telah menyebabkan lonjakan sumbangan kepada kempennya, yang berakhir pada Ogos dengan AS$235 juta.

Sebaliknya, kempen Trump menutup bulan Ogos dengan AS$135 juta, sekitar AS$17 juta kurang daripada awal bulan.

Dalam laporan rasmi kempen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan, Harris melaporkan telah mengumpul AS$190 juta sepanjang bulan Ogos, manakala Trump mengumpul AS$45 juta.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN