AMERIKA SYARIKAT, 15 April - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa agar semua pihak bertenang supaya tidak terbabit susulan konflik ketegangan Israel-Iran.
Beliau mengingatkan semua anggota badan dunia itu, tindakan menggunakan kekerasan adalah dilarang di bawah undang-undang antarabangsa.
"Baik di rantau mahupun di dunia ini tidak mampu menghadapi peperangan.
"Asia Barat kini berada di ambang peperangan, rakyat di rantau ini berdepan bahaya sebenar, konflik pada skala yang amat dahsyat.
"Sekarang adalah masa untuk meredakan dan mengurangkan keburukan," katanya ketika Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) semalam.
Pada 1 April lalu, Israel melancarkan serangan ke atas sebuah bangunan tambahan konsulat Iran di ibu negara Syria.
Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh staf Kor Pengawal Revolusi Iran termasuk dua jeneral utama.
Menurut laporan media Iran, antara yang maut ialah komander kanan Pasukan Quds bawah Kor Pengawal Revolusi Islam, Brigedier Jeneral Mohammad Reza Zahedi.
Ia adalah serangan kelima dalam tempoh lapan hari, ke atas Syria di mana Presiden Bashar al-Assad memperoleh sokongan kuat daripada Iran dan sekutunya.
Tehran mendakwa Israel melakukan serangan itu dan berikrar akan bertindak balas.
Tel Aviv tidak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu secara rasmi tetapi Iran dan sekutu rapatnya di Lubnan, Hizbollah sebelum ini berkata mereka tidak akan berdiam diri terhadap serangan itu. - AFP