IRAN, 15 April - Perancis akan memanggil duta Iran berhubung ketegangan yang berlaku pada awal Ahad lalu, kata Menteri Luar Perancis.
"Saya telah meminta Kementerian Luar untuk memanggil duta Iran untuk menyatakan... mesej ketegasan," kata Menteri, Stephane Sejourne menerusi saluran televisyen France 2.
Pada 1 April lalu, Israel melancarkan serangan ke atas sebuah bangunan tambahan konsulat Iran di ibu negara Syria.
Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh staf Kor Pengawal Revolusi Iran termasuk dua jeneral utama.
Menurut laporan media Iran, antara yang maut ialah komander kanan Pasukan Quds bawah Kor Pengawal Revolusi Islam, Brigedier Jeneral Mohammad Reza Zahedi.
Ia adalah serangan kelima dalam tempoh lapan hari, ke atas Syria di mana Presiden Bashar al-Assad memperoleh sokongan kuat daripada Iran dan sekutunya.
Tehran mendakwa Israel melakukan serangan itu dan berikrar akan bertindak balas.
Tel Aviv tidak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu secara rasmi tetapi Iran dan sekutu rapatnya di Lubnan, Hizbollah sebelum ini berkata mereka tidak akan berdiam diri terhadap serangan itu. - AFP