NEW YORK, 30 April- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres akan memulakan "lawatan solidariti Ramadan" pada hari ini ke Senegal, Niger dan Nigeria, lapor Agensi Berita Xinhua memetik timbalan jurucakapnya Farhan Haq, semalam.
"Guterres akan bertemu dan berbuka puasa bersama Presiden Macky Sall dari Senegal, yang memegang jawatan Presiden Kesatuan Afrika awal tahun ini. Beliau juga akan menghadiri sambutan Aidilfitri bersama Presiden Mohamed Bazoum dari Niger dan kemudian dijadualkan bertemu Presiden Nigeria Muhammadu Buhari," kata Farhan.
Selasa adalah Hari Raya Aidilfitri, cuti keagamaan pada penghujung bulan suci Ramadan yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia.
"Di tiga negara itu, Guterres akan mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan kerajaan serta wakil masyarakat awam, termasuk wanita, kumpulan belia dan pemimpin agama. Beliau akan bertemu keluarga yang sangat terjejas akibat keganasan dan ketidakstabilan di Sahel, termasuk mereka yang kehilangan tempat tinggal dan pelarian," kata Haq.
Ketua PBB itu juga akan melihat secara langsung kesan perubahan iklim terhadap komuniti rentan dan akan menilai kemajuan dan cabaran kepada pemulihan COVID-19, katanya.
(Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres)
Guterres memulakan lawatan tahunan solidariti Ramadan ketika beliau menjadi Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian. Beliau menyambung semula tradisi itu yang tergendala akibat COVID-19.
Kunjungan ke Afrika itu menyusuli lawatannya ke Moscow dan Kiev untuk mendesak keamanan di Ukraine.