fb fb fb fb fb

Ketua kemanusiaan PBB lawat Asia Barat untuk rundingan bantuan Gaza

(Ketua kemanusiaan PBB, Martin Griffiths / REUTERS)

GENEVA, 16 Oktober- Ketua kemanusiaan PBB, Martin Griffiths akan mengadakan lawatan ke Asia Barat bermula esok bagi melaksanakan usaha rundingan akses bantuan ke Semenanjung Gaza.

Dalam satu kenyataan video, Griffiths berharap untuk mendengar beberapa berita baik menjelang lewat hari ini berkenaan akses bantuan ke Palestin yang disekat dan dikepung melalui laluan di sempadan Rafah dengan Mesir.

"Kami memerlukan akses untuk menyampaikan bantuan. Kami sedang dalam perbincangan dengan Israel, Mesir dan dengan yang lain," katanya.

Ujarnya, rundingan itu satu proses yang turut dibantu oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken dalam lawatannya ke negara-negara di rantau itu.

"Saya berharap untuk mendengar berita baik pagi ini bagi mendapatkan bantuan melalui Rafah, satu titik persimpangan tetapi yang penting, ke Gaza bagi membantu jutaan orang yang telah berpindah ke selatan dan mereka yang sudah tinggal di sana," katanya.

Sempadan Rafah di antara Mesir dan Gaza adalah satu-satunya laluan masuk dan keluar dari bahagian pantai yang tidak dikawal oleh Israel.

(Kelihatan trak yang membawa bantuan kemanusiaan untuk Palestin, menunggu pembukaan semula sempadan Rafah untuk memasuki Gaza di bandar Al-Arish, Mesir/ REUTERS)

 

Bagaimanapun laluan itu telah ditutup sejak Selasa selepas tiga serangan oleh Israel dalam tempoh kurang 24 jam yang menyebabkan kerosakan terminal di sebelah Palestin.

"Saya akan pergi sendiri esok ke rantau ini untuk cuba membantu dalam rundingan, melihat sendiri dan menyatakan solidariti dengan keberanian yang luar biasa daripada beribu-ribu pekerja bantuan yang telah bertahan dan yang masih berada di sana membantu penduduk di Gaza dan di Tebing Barat," kata Griffiths. -AFP

Media Baharu