fb fb fb fb fb

Kumpulan pertama bantuan kemanusiaan sumbangan China tiba di Afghanistan

(FOTO BERNAMA)

HERAT, 16 Oktober- Kumpulan pertama barangan bantuan kemanusiaan yang disumbangkan oleh kerajaan China untuk membantu Afghanistan dalam mengatasi bencana gempa bumi tiba di bandar Herat, Afghanistan pada Ahad.

Dua pesawat pengangkut Tentera Udara China yang membawa bantuan kemanusiaan bernilai kira-kira RMB500,000 (RM 324,420) selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Herat.

Barangan itu antaranya terdiri khemah dan katil lipat yang amat diperlukan oleh mangsa dan bantaun selebihnya akan dihantar secara berperingkat. 

Timbalan Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan Mullah Nuruddin Torabi yang turut berada di lapangan terbang itu mengucapkan terima kasih atas sumbangan berkenaan.

"Sebahagian barangan itu akan disalurkan kepada Kementerian Pengurusan Bencana Negara dan selebihnya disalurkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah.

"Terima kasih kepada China dan kami sememangnya memerlukan banyak barangan bantuan pada masa ini," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Duta China ke Afghanistan Zhao Xing dan Pemangku Menteri Pengurusan Bencana Negara kerajaan sementara Afghanistan, Mohammad Abas Akhund, menghadiri majlis penyerahan bahan bantuan yang diadakan di Kabul pada Ahad. 

Sebelum ini, Persatuan Palang Merah China dilaporkan telah menyumbang bantuan tunai bernilai US$200,000 (RM948,400) kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan.

Selain itu, perusahaan dan rakyat China di Afghanistan turut mengumpul dana untuk disumbangkan kepada penduduk tempatan.- BERNAMA-CMG

rtm

(Kanak-kanak Afghanistan berdiri di luar khemah sementara mereka di kawasan terjejas gempa bumi di daerah Injil di wilayah Herat, semalam/ AFP)

 

Media Baharu