GENEVA, 29 Mac- Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Volker Turk menggesa supaya menamatkan "penderitaan ngeri" ke atas orang awam di Ukraine.
Amerika Syarikat (AS) cuba menjadi perantara gencatan senjata, lebih tiga tahun selepas berlaku pergolakan dengan Rusia.
"Beberapoa minggu kebelakangan ini kita menyaksikan serangan ke atas Ukraine. Jadi gencatan senjata amat dialu-alukan," kata Volker Turk kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
"Gencatan senjata terhad yang melindungi lorong perkapalan dan infrastruktur adalah satu langkah baik. Apa yang paling diperlukan sekarang ialah menamatkan perang di Ukraine."
Rusia melancarkan serangan ke atas Ukraine pada Februari 2022. Serangan berkenaan telah membunuh berpuluh-puluh ribu nyawa di kedua-dua negara.
Pada masa sama Presiden AS Donald Trump mendesak gencatan senjata, dengan navigasi di Laut Hitam membentuk bahagian awal rundingan.
"Perkara itu diusulkan seiring dengan rundingan ini berikutan pertempuran di Ukraine semakin rancak dan membunuh serta mencederakan lebih ramai orang awam.
"Angka mangsa dalam tiga bulan pertama tahun ini adalah 30 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Ketika perang terus berlarutan saya menyeru sekali lagi untuk menghentikan serangan ke atas orang awam dan penggunaan senjata letupan di kawasan berpenduduk. Semua langkah berjaga-jaga mesti diambil untuk mengelakkan bahaya kepada orang awam," katanya.
Pada masa sama Turk turut bimbang dengan peningkatan penggunaan dron tempur jarak dekat oleh kedua-dua pihak dalam konflik berkenaan.
Peranti baharu ini telah membunuh dan mencederakan lebih ramai orang awam berbanding senjata lain sejak Disember.
"Keamanan... merupakan perkara penting ketika ini namun ia mesti disandarkan dalam hak asasi manusia.
"Usaha berkenaan termasuk menghantar semua tawanan perang, pembebasan orang awam yang ditahan sewenang-wenangnya -- termasuk mereka di Rusia yang menentang perang -- dan pemulangan kanak-kanak yang dipindahkan oleh Persekutuan Rusia," kata Turk.
Penamatan diskriminasi, berdasarkan kewarganegaraan atau bahasa, dan pemulihan hak harta perlu dilakukan, manakala keadilan dan akauntabiliti peralihan merupakan tunjang "penting kepada keamanan mampan".- AFP