GENEVA, 29 Mac- Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), UNHCR memberi amaran bahawa pemotongan dana bakal mengancam kesihatan hampir 13 juta pelarian di sebalik ketidakpastian bantuan kewangan memberi kesan terhadap bantuan kemanusiaan.
Organisasi kemanusiaan di seluruh dunia mengalami impak akibat dasar baharu Presiden AS, Donald Trump, yang kembali ke tampuk pemerintahan pada Januari lalu.
Trump melaksanakan agenda antipelarian dan antimigran serta membekukan sebahagian besar dana bantuan luar AS.
“Tanpa sumber dana yang mencukupi, dianggarkan 12.8 juta pelarian, termasuk 6.3 juta kanak-kanak, mungkin kehilangan akses kepada intervensi kesihatan yang menyelamatkan nyawa pada tahun 2025,” kata ketua kesihatan awam UNHCR, Allen Maina.
"Krisis pembiayaan kemanusiaan semasa, ditambah dengan pengurangan perbelanjaan kesihatan di negara-negara tuan rumah, telah menjejaskan skop dan kualiti program kesihatan awam serta pemakanan untuk pelarian dan masyarakat tuan rumah," tambahnya.
Situasi ini telah menyebabkan gangguan akses kepada perkhidmatan penting serta meningkatkan risiko penularan penyakit, kekurangan nutrisi, keadaan kronik yang tidak dirawat, dan masalah kesihatan mental.
Maina turut memberi contoh pemotongan dana mengakibatkan sekitar sejuta pelarian Rohingya di Bangladesh menghadapi krisis kesihatan yang teruk dan mengancam akses kepada perkhidmatan perubatan.
Di Burundi, penggantungan program pemakanan di beberapa kem menyebabkan ribuan kanak-kanak pelarian di bawah umur lima tahun mungkin tidak menerima rawatan yang mencukupi untuk nutrisi, tambahnya.
"Di DRC, kesan pemotongan dana terhadap kesihatan dijangka menjadi sangat teruk, meletakkan lebih 520,000 pelarian pada risiko tinggi dijangkiti penyakit berjangkit dan kematian," kata Maina.
Di Mesir, semua rawatan perubatan untuk pelarian oleh UNHCR telah dihentikan, kecuali prosedur kecemasan yang menyelamatkan nyawa.
Jurucakap UNHCR, William Spindler, turut mendedahkan bahawa selain AS, penderma utama lain juga telah mengurangkan pembiayaan mereka, dan menyebabkan keadaan semakin memburukkan keadaan.-AFP.