fb fb fb fb fb

Penentang Bashar al-Assad dilantik sebagai Mufti besar Syria

Rakyat Syria mengibarkan bendera sambil berkumpul di sebuah dataran untuk memperingati ulang tahun ke-10 pengambilalihan Idlib daripada tentera bekas presiden Bashar al-Assad / Foto AFP

DAMSYIK, 29 Mac-Presiden sementara Syria, Ahmed al-Sharaa, telah melantik Osama al-Rifai, seorang ulama Muslim sederhana yang dikenali kerana penentangannya terhadap bekas Presiden Bashar al-Assad, sebagai Mufti besar Syria.

"Hari ini jawatan ini dipegang oleh salah seorang ulama terbaik di Syria," kata Sharaa dalam satu kenyataan.

Rifai, yang dilahirkan di Damsyik pada tahun 1944, secara terbuka menyatakan tentangan terhadap Assad selepas protes antikerajaan bermula pada tahun 2011.

Pada tahun yang sama, beliau telah dipukul oleh pasukan keselamatan Assad selepas menyampaikan khutbah Jumaat, apabila masjidnya diserbu oleh tentera kerajaan yang turut menangkap dan memukul para jemaah.

Tidak lama selepas kejadian itu, beliau meninggalkan Syria.

Pada tahun 2014, Rifai mengetuai sebuah majlis Islam di Istanbul yang ditubuhkan untuk rakyat Syria yang menentang Assad.

Selepas kumpulan pemberontak menumbangkan Assad pada Disember lalu, beliau kembali ke Damsyik dan disambut dengan penuh penghormatan oleh rakyat.

Pada tahun 2021, Assad telah menghapuskan jawatan Mufti Besar melalui satu dekri dan memperluaskan kuasa kementerian kerajaan yang mengawasi hal ehwal agama.

Keputusan itu secara tidak langsung telah memaksa Ahmed Badreddin Hassoun, mufti yang dilantik Assad pada 2004, untuk bersara.

Minggu ini, laporan tidak rasmi menyatakan bahawa bekas mufti itu telah ditahan di lapangan terbang ketika cuba meninggalkan Syria.

Pihak berkuasa belum mengeluarkan pengumuman rasmi mengenai perkara ini, tetapi ahli keluarganya mengesahkan di media sosial bahawa Hassoun telah ditahan.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD