fb fb fb fb fb

Ketua biro Al Jazeera tinggalkan Gaza selepas isteri, anak dan cucu terbunuh

Wael Al-Dahdouh (tengah) memeluk anak perempuannya semasa pengebumian anaknya, Hamza Wael Dahdouh yang juga wartawan Al Jazeera yang terbunuh dalam serangan udara Israel di Rafah pada 7 Januari lalu/AFP

GAZA, 17 Januari- Ketua biro rangkaian televisyen Al Jazeera di Gaza, Wael al-Dahdouh meninggalkan wilayah sini selepas isteri, tiga anak, cucu dan beberapa rakan sekerjanya terbunuh dalam serangan Israel.

Dahdouh, 53, dilapor telah memasuki Mesir melalui sempadan Rafah semalam menyusuli empat anaknya yang lain pada minggu lalu.

Katanya, dia akan meneruskan perjalanan ke Qatar untuk menjalani pembedahan selepas turut tercedera dalam serangan Israel pada bulan lalu.

Serangan berkenaan telah membunuh jurukamera, Samer Abu Daqqa dan beberapa rakan kerjanya yang lain.

Oktober lalu, isteri, dua anak dan seorang cucunya terbunuh dalam pengeboman di kem pelarian Nuseirat, manakala anak sulungnya terbunuh dalam serangan yang menyasarkan sebuah kereta di Rafah pada bulan ini.

Sekurang-kurangnya 82 wartawan telah terbunuh dalam perang bermula 7 Oktober lalu, 75 daripadanya di Gaza, menurut data oleh Jawatankuasa Melindungi Wartawan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA