fb fb fb fb fb

Kes darurat tentera Yoon Suk Yeol, diserah kepada pendakwa raya

Foto Reuters

SEOUL, 23 Januari- Badan antirasuah Korea Selatan akan menyerahkan kes jenayah berkaitan bekas Presiden Yoon Suk Yeol kepada pejabat pendakwa raya untuk pendakwaan, selepas siasatan terhadap pengisytiharan darurat tentera yang singkat pada Disember lalu.

Pejabat Siasatan Rasuah Pegawai Tertinggi (CIO) mengumumkan pada Khamis bahawa pihaknya akan meminta pendakwa raya mendakwa Yoon atas tuduhan mengetuai pemberontakan, menyalahgunakan kuasa selain melanggar hak asasi manusia.

Yoon, yang telah ditahan sejak minggu lalu, berdepan siasatan atas percubaan mengisytiharkan darurat tentera pada 3 Disember.

Keputusan itu mendapat perhatian dalam dan luar negara, walaupun dibatalkan oleh parlimen beberapa jam selepas itu.

CIO, yang ditubuhkan pada 2021 sebagai agensi bebas untuk menyiasat pegawai tertinggi, telah mengetuai pasukan gabungan melibatkan polis dan kementerian pertahanan.

Namun, badan itu tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa presiden dan perlu merujuk kes tersebut kepada pendakwa raya.

Peguam Yoon mendakwa CIO tidak mempunyai kuasa untuk mengendalikan kes tersebut susulan undang-undang tidak menyenaraikan pemberontakan sebagai salah satu kesalahan yang boleh disiasat oleh agensi itu.

Siasatan berkenaan dijangka mendapat liputan menyeluruh, dengan langkah pendakwaan seterusnya akan menjadi penentu kepada tindakan undang-undang terhadap bekas pemimpin Korea Selatan itu.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM