RIYADH, 23 Januari- Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman mengucapkan tahniah kepada Donald Trump atas kembalinya ke White House, sambil mengumumkan rancangan untuk memperluas pelaburan dan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).
Menurut kenyataan Kementerian Luar Saudi, putera mahkota menyampaikan ucapan tahniah dari ayahandanya, Raja Salman menerusi panggilan telefon pada Khamis.
Beliau menyatakan bahawa Saudi akan memperluaskan pelaburan dan perdagangan dengan AS sehingga mencecah AS$600 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang dan berpotensi melebihi angka tersebut.
Semasa penggal pertama Trump sebagai presiden, beliau mendekati Saudi sebagai rakan strategik utama dalam sektor tenaga dan keselamatan.
Lawatan rasmi pertama Trump ke luar negara pada 2017 adalah ke Riyadh, di mana beliau disambut secara besar-besaran termasuk tarian pedang dan pertunjukan udara.
Namun, hubungan kedua-dua negara menjadi tegang selepas Trump dikritik kerana tidak bertindak tegas berikutan serangan pada 2019 yang menjejaskan pengeluaran minyak Saudi dan dipercayai dilakukan oleh Iran.
Selepas meninggalkan White House, Trump dan pasukannya terus mengukuhkan hubungan dengan Riyadh melalui pelaburan dan perjanjian pembinaan bagi syarikat miliknya, Trump Organization.
Jared Kushner, menantu Trump, sebelum ini mempertahankan penerimaan pelaburan bernilai $2 bilion daripada kerajaan Saudi untuk firma ekuiti persendiriannya.
Dalam kempen pilihan raya, Joe Biden mengkritik keras Saudi atas isu hak asasi manusia termasuk pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi pada 2018.
Namun, hubungan dengan pentadbiran Biden kemudiannya bertambah baik dengan rundingan untuk mengiktiraf Israel melalui perjanjian mega yang melibatkan program nuklear dan pakatan pertahanan.- AFP