CASTAIC, 22 Januari- Satu lagi kebakaran liar yang berlaku di utara Los Angeles, California, pada Rabu merebak pantas hingga melebihi 8,000 ekar.
Kebakaran itu didorong angin kencang serta semak kering, memaksa lebih 19,000 penduduk untuk berpindah di bawah perintah pemindahan wajib.
Kebakaran yang dikenali sebagai Hughes Fire, terletak kira-kira 80 kilometer dari Los Angeles, menambah beban pasukan bomba yang bertungkus-lumus mengawal dua kebakaran besar lain di kawasan metropolitan tersebut.
Dalam beberapa jam sahaja, kebakaran tersebut merebak ke lebih separuh saiz Eaton Fire, salah satu kebakaran besar yang sedang melanda kawasan Los Angeles.
Penduduk di kawasan tasik Castaic diberi amaran bahawa mereka berdepan ancaman nyawa, sementara seluruh kawasan Selatan California berada di bawah amaran merah susulan risiko kebakaran yang tinggi akibat angin kering dan kuat.
Menurut Jabatan Bomba Los Angeles County, kira-kira 19,000 penduduk di bawah perintah pemindahan wajib manakala 16,000 lagi diberi amaran pemindahan.
Helikopter digunakan untuk mengambil air dari tasik berdekatan dan menjatuhkannya ke kawasan kebakaran, manakala pesawat menjatuhkan bahan kalis api ke kawasan berbukit.
Jalan raya utama Interstate 5 turut ditutup berikutan asap tebal yang mengehadkan penglihatan.
Sementara itu, dua kebakaran utama di Los Angeles semakin terkawal.
Sejak kebakaran yang bermula 7 Januari lalu, kedua-duanya telah memusnahkan kawasan hampir sebesar Washington D.C., menyebabkan 28 kematian serta merosakkan hampir 16,000 struktur.
Ramalan cuaca menunjukkan kemungkinan hujan dari Sabtu hingga Isnin, memberikan sedikit kelegaan kepada pasukan bomba yang sedang berjuang mengawal kebakaran.- REUTERS