fb fb fb fb fb

AS iktiraf Gonzalez Urrutia sebagai Presiden Venezuela sah

Foto AFP

WASHINGTON, 23 Januari- Amerika Syarikat (AS) secara rasmi mengiktiraf ahli politik pembangkang Venezuela, Edmundo Gonzalez Urrutia sebagai "presiden sah" negara itu, menegaskan penolakan terhadap penggal ketiga Nicolas Maduro.

Jabatan Negara AS pada Rabu memaklumkan bahawa diplomat kanan, Marco Rubio telah mengadakan perbualan telefon bersama Gonzalez Urrutia dan pemimpin pembangkang Maria Corina Machado.

Dalam perbualan itu, Rubio menegaskan sokongan AS terhadap usaha pemulihan demokrasi di Venezuela serta pembebasan segera semua tahanan politik.

Kenyataan tersebut merujuk kepada Gonzalez Urrutia, yang kini dalam buangan sebagai "presiden sah Venezuela".

AS, Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara jiran demokratik Venezuela tidak mengiktiraf kemenangan Maduro untuk penggal ketiga selama enam tahun yang diumumkan selepas pilihan raya tahun lalu.

Pihak pembangkang mendakwa, berdasarkan kiraan undian mereka, Gonzalez Urrutia, 75, jelas memenangi pilihan raya pada bulan Julai lalu.

Bagaimanapun, Urrutia melarikan diri ke Sepanyol pada September susulan tindakan keras kerajaan terhadap pihak yang membantah.

Bekas Presiden AS, Joe Biden turut mengiktiraf Gonzalez Urrutia sebagai pemimpin sah Venezuela, malah menggelarnya "presiden terpilih".

Baru-baru ini, Gonzalez Urrutia dilihat berada di AS dan menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Donald Trump.

Krisis di Venezuela telah menyebabkan tujuh juta rakyatnya melarikan diri ke luar negara, dengan ramai di antara mereka menuju ke AS.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM