fb fb fb fb fb

Kes cendawan maut: Erin Patterson turut didakwa cuba bunuh bekas suami

FOTO REUTERS

SYDNEY, 8 Ogos – Erin Patterson, wanita Australia yang sebelum ini disabitkan kesalahan membunuh tiga ahli keluarga mentuanya dengan hidangan 'beef Wellington' yang mempunyai racun, turut didakwa cuba membunuh bekas suaminya melalui beberapa hidangan berasingan, termasuk pasta, kari ayam dan sandwic gulung.

Bulan lalu, juri memutuskan Patterson, 50, bersalah membunuh ibu mentuanya Gail Patterson, bapa mentuanya Don Patterson, serta adik Gail, Heather Wilkinson, di kediamannya di Leongatha, kira-kira 135 kilometer tenggara Melbourne pada 2023. Turut menjadi mangsa ialah Ian Wilkinson, suami Heather, yang terselamat daripada insiden itu.

Patterson pada 2023 berdepan lapan pertuduhan; tiga membunuh dan lima cubaan membunuh termasuk empat cubaan membunuh yang dikaitkan dengan bekas suaminya, Simon Patterson. Namun, tuduhan terhadap Simon digugurkan sehari sebelum perbicaraan pertama bermula.

Menurut keterangan praperbicaraan, Simon mendakwa dia kerap jatuh sakit selepas makan masakan bekas isterinya pada 2021 dan 2022, termasuk ketika percutian perkhemahan dan aktiviti berjalan kaki. Kejadian itu menyebabkan dia hampir maut, lumpuh sementara dan menjalani pembedahan membuang sebahagian usus.

Simon turut memaklumkan kepada doktor dan ahli keluarga tentang syak wasangkanya, termasuk kepada bapanya Don Patterson, yang meninggal dunia selepas makan tengah hari di rumah Erin pada Julai 2023. Don malah membawa sampel muntahnya ke hospital untuk dianalisis kerana yakin telah diracun.

Bukti daripada komputer Erin yang menunjukkan carian jenis-jenis racun turut ditemui pihak berkuasa, namun dikecualikan daripada perbicaraan. Hakim Christopher Beale pada awalnya menyekat penyiaran bahan praperbicaraan bagi melindungi hak rayuan tertuduh, tetapi sekatan itu ditarik balik hari ini.

Patterson mempunyai 28 hari daripada tarikh hukuman yang belum ditetapkan untuk memfailkan rayuan, walaupun Hakim Beale menjangka peluangnya tipis. Kes akan disambung 25 Ogos ini untuk sesi hujahan hukuman, termasuk pembacaan kenyataan impak mangsa.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE