fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan di Selatan Perancis, musnahkan 17,000 hektar kawasan

Foto Reuters

PARIS, 8 Ogos- Kebakaran hutan besar melanda wilayah Aude di selatan Perancis sejak petang Selasa lalu, memusnahkan lebih 17,000 hektar kawasan tanaman dan meninggalkan kesan kemusnahan yang besar.

Menurut laporan media tempatan, kebakaran yang bermula kira-kira pukul 4.00 petang waktu tempatan pada 5 Ogos itu telah meragut satu nyawa manakala tiga lagi dilaporkan hilang,setakat ini.

Asap tebal masih kelihatan membumbung dari kawasan bukit-bukau yang hangus, sementara bau tumbuh-tumbuhan terbakar terus memenuhi udara.

Lebih 2,100 anggota bomba dengan bantuan 500 kenderaan serta sokongan tentera telah dikerah bagi memadam api menggunakan kaedah darat dan udara.

Bagaimanapun, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Bencana itu turut mengganggu kehidupan masyarakat setempat, memaksa penubuhan 17 pusat perlindungan sementara untuk penduduk yang dipindahkan.

“Kerugian rumah saya teruk di bahagian luar. Pintu, tingkap, kaca, penutup tingkap, atap dan dinding semuanya musnah. Bahagian dalam rumah kebanyakannya selamat, tetapi semua di sekelilingnya hangus.

Enam kereta, tiga bot dan tujuh treler saya juga terbakar. Semuanya hilang, tiada apa yang tinggal,” kata seorang penduduk tempatan, David.

Namun, David berkata bekalan asas masih boleh didapati.

“Kami masih boleh ke kedai untuk membeli barang, dan ramai orang datang menghantar bantuan. Buat masa ini kami boleh bertahan, dan penduduk kampung juga saling membantu,” ujarnya.

Agensi cuaca Perancis memberi amaran bahawa gelombang haba baharu yang dijangka bermula 8 Ogos akan meningkatkan risiko kebakaran hutan.

Data menunjukkan sejak awal musim panas, kira-kira 9,000 kebakaran hutan telah direkodkan, kebanyakannya di sepanjang pantai Mediterranean. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM