fb fb fb fb fb

Jepun keluar amaran hujan lebat khas di Kagoshima

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 8 Ogos- Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran hujan lebat untuk wilayah selatan Kagoshima pada Jumaat, memberi amaran bahawa “nyawa dalam bahaya”.

Hujan lebat itu berlaku selepas gelombang panas melampau melanda sebahagian besar Jepun dengan rekod suhu nasional tertinggi 41.8 darjah Celsius.

“Kagoshima sedang mengalami hujan lebat yang belum pernah dialami sebelum ini,” kata seorang pegawai Agensi Meteorologi Jepun (JMA) dalam sidang media.

“Nyawa dalam bahaya. Kami meminta orang ramai mengambil langkah keselamatan dengan berpindah ke bangunan yang terletak sedikit jauh daripada sungai atau tebing atau ke bangunan yang kurang berisiko banjir,” tambahnya.

Pegawai JMA itu juga menggesa penduduk supaya mengosongkan kediaman tanpa menunggu arahan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan.

Seorang pegawai kementerian tanah turut memberi amaran risiko sungai melimpah.

Menurut Kyodo News, satu kawasan di Kagoshima mencatatkan jumlah hujan tertinggi sebanyak lebih 490 milimeter (19 inci) dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 4.40 pagi (waktu tempatan).

Bandar Kirishima di Kagoshima menasihatkan penduduk supaya mengosongkan rumah atau mengambil langkah alternatif susulan amaran khas JMA,yang merupakan tahap tertinggi dalam sistem lima skala mereka.

“Limpahan air bakal menimbulkan risiko banjir, atau banjir mungkin sudah berlaku di kawasan empangan,” menurut kenyataan di laman web rasmi bandar tersebut.

Beberapa penerbangan domestik di Lapangan Terbang Kagoshima turut dibatalkan akibat hujan lebat. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM