BANGKOK, 29 Ogos - Mahkamah Thailand menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada anak seorang pelakon terkenal dari Sepanyol atas pembunuhan kejam seorang pakar bedah plastik Colombia tahun lalu di Koh Samui, Thailand.
Daniel Sancho Bronchalo, seorang chef berusia 30 tahun, didapati bersalah atas pembunuhan terancang terhadap Edwin Arrieta Arteagadi dengan memotong anggota badan mangsa yang dikenalinya secara dalam talian.
Kes pembunuhan itu mendapat perhatian meluas kerana bapa tertuduh, Rodolfo Sancho, merupakan seorang pelakon terkenal di Sepanyol.
Peguam mewakili keluarga mangsa, Bussakorn Kaewleeled berkata keluarga mangsa berpuas hati dengan keputusan mahkamah.
"Pihak plaintif berpuas hati dengan hukuman penjara seumur hidup dan pampasan kewangan yang diberikan," kata Bussakorn kepada wartawan di luar mahkamah di pulau Koh Samui hari ini.
Bussakorn menambah bahawa kedua-dua pihak mempunyai hak untuk membuat rayuan mengikut undang-undang Thailand.
Sancho dalam pembelaannya berkata, dia mempertahankan dirinya dan mengakui menyembunyikan mayat Arrieta, 44 tahun.
Bagaimanapun dia menafikan memusnahkan pasport mangsa.
Sesi pendengaran kes mendedahkan, Sancho meletakkan bahagian tubuh Arrieta dalam beg plastik dan membuangnya di sekitar Koh Pha Ngan.
Kesalahan jenayah itu boleh dihukum mati, namun keluarga Arrieta menyatakan mereka lebih memilih supaya hukuman penjara seumur hidup dikenakan.
Walaupun Thailand masih mempunyai hukuman mati untuk beberapa jenayah, termasuk pembunuhan terancang, hukuman itu jarang dilaksanakan, dengan yang terakhir pada tahun 2018.
Pelakon terkenal Sepanyol Rodolfo Sancho merupakan bapa kepada tertuduh
Ahli keluarga mangsa, Darling Arrieta, berkata sekiranya hukuman penjara seumur hidup dikenakan, ia memberikan masa kepada tertuduh untuk memikirkan kesilapan yang telah dilakukannya.
Dalam satu dokumentari yang sama, pelakon Rodolfo Sancho berkata Arrieta mengancam anaknya, selepas itu "berlakulah pergaduhan dan dalam pergaduhan berkenaan berlaku satu kemalangan".
Pihak pembelaan menegaskan bahawa Sancho bertindak dalam pembelaan diri yang sah selepas Arrieta cuba memaksanya melakukan hubungan seks.
"Dia cuba merogol saya dan kami bergelut," kata Sancho dalam satu kenyataan yang dipetik oleh akhbar harian Sepanyol, El Mundo. - AFP