MOSCOW, 29 Ogos - Indonesia sedang mempertimbangkan untuk menyekat aplikasi pesanan Telegram dan platform penstriman Bigo Live kerana didakwa digunakan untuk mempromosikan pornografi dan perjudian, kata Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Indonesia, Budi Arie Setiadi, lapor Sputnik.
"Saya lebih suka menutup Bigo Live dan Telegram serta-merta, tetapi sebuah pasukan perlu melakukan kajian lanjut terlebih dahulu... Kami bertindak berdasarkan bukti yang dikumpul oleh pasukan kami.
"Jika kami menemukan bukti promosi pornografi atau perjudian, kami akan teruskan dengan menyekat platform berkenaan," kata menteri itu seperti yang dipetik akhbar Jakarta Globe.
Budi berkata walaupun kementerian telah mengeluarkan amaran keras kepada kedua-dua platform itu, maklum balas mereka masih belum mencukupi.
Pengasas Telegram Pavel Durov pada Sabtu telah ditahan di lapangan terbang Paris atas tuduhan berkaitan penyalahgunaan aplikasi pesanannya untuk tujuan jenayah, termasuk keganasan, pornografi kanak-kanak, pengedaran dadah, pengubahan wang haram dan penipuan.
Bilionair berusia 39 tahun kelahiran Rusia itu memegang kewarganegaraan beberapa negara, termasuk Perancis. - BERNAMA-SPUTNIK