MOSCOW, 29 Ogos - Rusia beri amaran kepada Perancis supaya tidak menjadikan pengasas Telegram, Pavel Durov sebagai mangsa penganiayaan politik.
Perkara itu disuarakan Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.
Rusia berpendirian kes menimpa Durov lebih bermotifkan politik dan akan memantau perkembangan semasa siasatan individu yang memiliki kerakyatan Rusia-Perancis itu.
Dalam perkembangan lain, Durov kini dibebaskan dengan ikat jamin lima juta Euro.
Beliau dikenakan syarat untuk melapor diri ke balai polis dua kali seminggu selain tidak dibenarkan keluar dari Perancis.
Durov yang dikehendaki di Perancis telah ditahan di Lapangan Terbang Le Bourget Paris pada Sabtu, sebaik sahaja tiba dari Azerbaijan.
Penahanan pengasas berusia 39 tahun itu susulan kurangnya kerjasama diberikan dalam kes penyiasatan kesalahan pengedaran dadah, penipuan, dan kesalahan berkaitan penderaan kanak-kanak di plafform Telegram. - AFP