BANGKOK, 3 Oktober- Seorang lelaki Thailand dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Jumaat atas kesalahan membunuh bekas ahli parlimen Kemboja, Lim Kimya, di Bangkok awal tahun ini.
Lim, seorang warga Perancis berketurunan Kemboja, ditembak mati pada 7 Januari ketika melawat Bangkok bersama isterinya.
Suspek, Ekkalak Paenoi ditangkap di Kemboja sehari selepas kejadian dan mengaku melakukan pembunuhan itu melalui video siaran langsung.
Mahkamah Jenayah Bangkok memutuskan hukuman penjara seumur hidup selepas Ekkalak mengaku bersalah.
Hakim berkata pengakuan tersebut menjadi faktor pengurangan daripada hukuman asal.
Bagaimanapun, mahkamah membebaskan seorang lagi tertuduh, warga Thailand Chakrit Buakhil, yang didakwa membantu suspek melarikan diri.
Peguamnya berhujah beliau hanyalah pemandu dan tidak mengetahui rancangan pembunuhan itu.
Isteri mangsa, Anne-Marie Lim menyatakan kepuasan dengan keputusan mahkamah tetapi tetap mendesak siasatan penuh terhadap dalang sebenar di sebalik pembunuhan itu.
Peguamnya, Nadhthasiri Bergman berkata pihak berkuasa perlu mendesak ekstradisi suspek lain dari Kemboja.
Beberapa tokoh pembangkang Kemboja menuduh bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen mengarahkan serangan tersebut bagaimanapun namun kerajaan pimpinan Hun Manet menafikan sebarang penglibatan.
Hun Sen, yang memerintah hampir empat dekad sebelum berundur pada 2023, sering dituduh negara Barat dan kumpulan hak asasi menggunakan sistem perundangan untuk menekan pembangkang. -AFP