SIDOARJO, 3 Oktober- Sekurang-kurang lapan orang maut dalam insiden runtuhan sebuah sekolah berasrama di Sidoarjo, Jawa Timur serta puluhan lagi masih dipercayai terperangkap di bawah runtuhan pada Jumaat.
Bangunan bertingkat itu runtuh secara tiba-tiba pada Isnin ketika pelajar berkumpul untuk menunaikan solat Asar, mencetuskan operasi mencari dan menyelamat besar-besaran bagi mengesan lebih 50 mangsa yang hilang.
Pengarah Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), Yudhi Bramantyo berkata dua pelajar lelaki ditemukan tertimbus di kawasan wuduk pada Jumaat, menjadikan jumlah korban ketika itu tujuh orang.
Tidak lama kemudian, Ketua Pejabat Pencarian dan Pertolongan Surabaya, Nanang Sigit memaklumkan seorang lagi mayat ditemukan berdekatan lokasi sama sekali gus angka kematian meningkat kepada lapan.
Sebelum penemuan tiga mangsa pada Jumaat, pihak berkuasa melaporkan seramai 59 orang masih hilang.
Keluarga mangsa dilihat menunggu dengan penuh harapan berhampiran lokasi kejadian sejak awal minggu.
Siasatan awal mendapati faktor pembinaan yang tidak menepati piawaian berkemungkinan menjadi punca runtuhan, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Operasi menyelamat berdepan cabaran kerana gegaran di satu bahagian runtuhan boleh menjejaskan kestabilan kawasan lain, selain turut terganggu oleh gempa bumi yang berlaku pada malam Selasa.
Pasukan penyelamat dibenarkan menggunakan jentera berat termasuk kren bagi mempercepatkan usaha mencari selepas tempoh 72 jam yang kritikal untuk menyelamatkan mangsa berakhir. -AFP