fb fb fb fb fb

Lapangan Terbang Munich gantung operasi akibat gangguan dron

Foto REUTERS

MUNICH, 3 Oktober- Lapangan Terbang Munich terpaksa menggantung operasi penerbangan pada malam Khamis selepas beberapa dron dikesan di ruang udara.

Situasi itu sekali gus menyebabkan 17 penerbangan dibatalkan dan hampir 3,000 penumpang terjejas.

Menurut kenyataan pihak lapangan terbang, 15 lagi penerbangan yang dijadualkan mendarat turut dialihkan ke Stuttgart, Nuremberg, Vienna dan Frankfurt.

Gangguan bermula pada pukul 10.18 malam waktu tempatan apabila kawalan trafik udara mengehadkan operasi sebelum menghentikannya sepenuhnya.

Insiden itu menandakan gangguan terbaharu sektor penerbangan Eropah akibat dron, selepas kejadian serupa menutup sementara lapangan terbang di Denmark dan Norway minggu lalu.

Munich minggu ini turut dilanda kebimbangan keselamatan selepas festival Oktoberfest ditutup sementara ekoran ancaman bom dan penemuan bahan letupan di sebuah kediaman di utara bandar itu. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM