GENEVA, 7 Januari - Jumlah kes baharu COVID-19 di peringkat global meningkat secara mendadak sehingga 71 peratus minggu lepas berbanding minggu sebelumnya.
Jumlah kematian bagaimanapun berkurangan 10 peratus dalam tempoh yang sama.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), data mingguan situasi pandemik menunjukkan kira-kira 9.5 juta kes baharu dan lebih 41 ribu kematian dilaporkan dari 27 Disember 2021 hingga 2 Januari tahun ini.
Dalam masa sama, semua rantau melaporkan peningkatan kes jangkitan mingguan. Benua Amerika merekodkan peningkatan tertinggi (100 peratus), diikuti Asia Tenggara (78 peratus) dan Eropah (65 peratus).
Bagi kes kematian akibat COVID-19 pula WHO menjelaskan, biarpun benua Afrika masih merekodkan peningkatan jumlah kes kematian mingguan, semua rantau lain di dunia melaporkan trend penurunan berbanding minggu sebelumnya.