fb fb fb fb fb

Covid -19: Amaran tegas Filipina buat rakyatnya yang enggan divaksin

FOTO AFP 


MANILA, 8 Januari - Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menegaskan, mana-mana rakyatnya yang tidak disuntik vaksin Covid-19 akan ditahan sekiranya didapati bergerak bebas dalam kalangan masyarakat.

Amaran tegas itu disuarakan berikutan jangkitan kes baharu mencatat rekod tertinggi dalam tempoh tiga bulan.

Menurut beliau, pemimpin masyarakat diminta mengawasi mereka yang tidak divaksin dan memastikan mereka tidak meninggalkan rumah masing-masing atau berdepan tindakan tegas.

"Kalau mereka enggan, masih mahu keluar rumah dan bercampur degan masyarakat, mereka patut dihalang dan jika masih degil, pemimpin masyarakat boleh menahan mereka," katanya.

"Saya kini memberi arahan kepada pemimpin masyarakat untuk memerintahkan golongan tanpa vaksin tidak keluar dan kekal berada dalam rumah sahaja, dan jika mereka enggan serta didapati bergerak bebas dalam dalam masyarakat atau mungkin di mana-mana, mereka akan ditahan dan pihak berkuasa perlu tegas terhadap mereka yang degil", tegasnya.

Duterte berkata beliau bertanggungjawab kepada setiap rakyat Filipina dan mencabar sesiapa yang membantah keputusan itu untuk memfailkan kes terhadapnya.

"Orang yang tidak mahu mengambil suntikan vaksin, kamu meletakkan semua orang dalam bahaya", katanya.

Jangkitan harian pandemik itu di Filipina mencapai tahap tertinggi sejak 26 September lalu dengan 17,220 kes direkodkan kelmarinn termasuk jangkitan varian Omicron.
Ini adalah lebih tiga kali ganda berbanding rekod Selasa lalu, yang membawa kepada jumlah kumulatif lebih 2.88 juta jangkitan termasuk lebih 51,700 kematian iaitu kes COVID-19 kedua tertinggi di Asia tenggara selepas Indonesia.

Pada hujung tahun lalu, 49.8 juta atau 45 peratus daripada 110 juta penduduk Filipina sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19.

Di bawah undang-undang sedia ada, orang yang tidak divaksin di ibu negara, Manila, hanya boleh meninggalkan rumah untuk tujuan penting saja.

Filipina setakat ini merekodkan 43 jangkitan domestik dan import varian Omicron, sekali gus mendorong kerajaan mengambil tindakan kawalan lebih drastik.-AFP

Media Baharu