RAMALLAH, 26 Januari- Delegasi Palestin dijangka tiba di Belanda hari ini untuk mendengar kes yang dikemukakan Afrika Selatan, dalam menggesa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenakan langkah sementara terhadap Israel kerana melanggar Konvensyen Genosid.
Memetik agensi berita Palestin, WAFA, Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat Palestin merakamkan penghargaan atas maklum balas pantas ICJ dalam mengeluarkan keputusan berhubung langkah sementara dalam tempoh dua minggu selepas Afrika Selatan menyerahkan kes tersebut.
"Ini adalah petunjuk jelas tentang kesedaran mahkamah tentang realiti yang mengerikan di Gaza. Rakyat Palestin dan seluruh dunia menantikan keputusannya," menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut mengulangi gesaan agar semua negara bertindak seperti Afrika Selatan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang antarabangsa.
ICJ, badan kehakiman tertinggi bersama-sama dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkata akan mengeluarkan keputusan itu hari ini dalam kes terhadap Israel, yang dituduh melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Mahkamah boleh memerintahkan Israel untuk menghentikan pencerobohannya terhadap Gaza yang bermula sejak 7 Oktober tahun lalu.
Dalam perbicaraan yang diadakan pada 11 dan 12 Januari, ICJ mempertimbangkan perbicaraan Israel atas tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, berdasarkan tuntutan mahkamah yang difailkan oleh Afrika Selatan dan disokong oleh berpuluh-puluh negara.
Afrika Selatan memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Israel pada 29 Disember lalu, menuduhnya melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Artikel Berkaitan:
Malaysia dukung langkah Afrika Selatan di ICJ
Dunia berhutang budi dengan Afrika Selatan
Perbicaraan genosid Gaza, Afrika Selatan mohon injunksi henti serangan di Gaza
Pembunuhan beramai-ramai di Gaza, Afrika Selatan tuduh Israel di Mahkamah Dunia