THE HAGUE, 12 Januari- Perbicaraan awam dalam kes pembunuhan beramai-ramai yang dikemukakan Afrika Selatan terhadap Israel bermula pada Khamis di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague.
Pada hari pertama perbicaraan, Afrika Selatan akan mengemukakan bukti kukuh dalam kes yang difailkannya pada 29 Disember lalu dengan menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai dan melanggar Konvensyen Genosid PBB dengan tindakannya di Gaza sejak 7 Oktober 2023.
Pihak Afrika Selatan akan meminta injunksi oleh mahkamah tertinggi PBB untuk menghentikan serangan tentera Israel ke atas Gaza, yang telah berlarutan selama lebih tiga bulan menyaksikan jumlah kematian meningkat kepada lebih 23,300.
Pemfailan setebal 84 muka surat oleh Afrika Selatan mendakwa Israel melakukan tindakan bersifat genosid, dengan niat khusus iaitu untuk memusnahkan rakyat Palestin di Gaza.
Afirka Selatan menjelaskan, tindakan pembunuhan beramai-ramai Israel termasuk membunuh rakyat Palestin, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan mental yang serius, pengusiran beramai-ramai dari rumah dan pemindahan, mengenakan langkah yang bertujuan untuk menghalang kelahiran serta kekurangan akses kepada makanan, air, tempat tinggal, sanitasi dan bantuan perubatan yang mencukupi.
Delegasi Afrika Selatan diketuai oleh Menteri Kehakiman Ronald Lamola dan akan disertai oleh tokoh politik kanan dari parti dan pergerakan politik progresif dari seluruh dunia.
Perbicaraan tersebut ditetapkan sekurang-kurangnya dua jam dan akan diikuti dengan hujah Israel dalam pembelaannya hari ini.-REUTERS