MEXICO CITY, 12 Januari- Sukan tradisi, laga lembu akan membuat kemunculan semula di Mexico City bulan ini selepas digantung selama lebih setahun.
Mexico, khususnya Plaza de Toros telah lama menjadi kubu pertarungan laga lembu.
Tetapi pada Jun 2022, sukan tradisi itu diarahkan digantung buat selama-lamanya selepas bersetuju dengan aktivis hak haiwan yang telah memfailkan saman.
Namun, bulan lalu Mahkamah Agung membatalkan keputusan itu, walaupun menurut media Mexico, hakim hanya memutuskan aspek teknikal dan masih belum memutuskan merit kes berkenaan.
Pada 28 Januari, matador di Mexico City akan menyambung semula tradisi yang dibawa oleh penakluk Sepanyol sejak lima abad lalu, umum Pengarah Plaza de Toros Mario Zulaica dalam satu sidang akhbar.
Semasa tempoh penggantungan itu, "Sebilangan besar matador tidak dibenarkan menjalankan pekerjaan mereka, hak asasi yang termaktub dalam perlembagaan kita. Beribu-ribu orang tidak dapat menikmati hak budaya mereka," katanya.
Berikutan keputusan Mahkamah Agung, Presiden Andres Manuel Lopez Obrador mencadangkan satu referendum mengenai masa depan aksi laga lembu di Mexico City.
Setakat ini, hanya segelintir daripada 32 negeri Mexico telah mengharamkan amalan itu.
Pada 2018, laga lembu telah menjana pendapatan dianggarkan AS$343 juta dan menggaji sekitar 80,000 orang.-AFP