fb fb fb fb fb

Kereta api bertembung di Greece, 29 maut dan 85 cedera

FOTO REUTERS

ATHENS, 1 Mac- Sekurang-kurangnya 29 maut dan 85 cedera dalam satu insiden pertembungan dua kereta api di bandar Greece, Athens dan Thessaloniki pada lewat malam tadi.

Berita tersebut disahkan pegawai bomba tempatan dan memaklumkan kerja menyelamat masih diteruskan.

“Setakat ini, 29 orang telah ditemui mati dan 85 orang cedera dan mereka telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan," jelas jurucakap perkhidmatan bomba itu.

Tiga gerabak kereta api terkeluar dari landasan berdekatan bandar Larissa selepas perlanggaran itu berlaku.

Dua kereta api berkenaan dilaporkan masing-masing membawa muatan kargo dan satu lagi membawa 350 penumpang.


(FOTO REUTERS)

Menurut stesen televisyen awam ERT, beberapa individu terperangkap dalam gerabak yang tumbang itu selain mengakibatkan satu kereta terbakar.

Media tempatan turut memaklumkan seramai 40 anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian dengan sokongan 30 buah ambulans.

Gabenor wilayah itu, Kostas Agorastos mengumumkan bahawa lebih daripada 250 penumpang dipindahkan ke Thessaloniki dengan bas.

"Malangnya, jumlah yang cedera dan maut mungkin tinggi," tambah Kostas.

Penumpang dan mangsa tragedi, Lazos berkongsi momen ngeri itu kepada media, menyatakan bahawa pengalaman itu sangat mengejutkan.

“Saya tidak cedera tetapi saya berlumuran darah daripada orang lain yang cedera berhampiran saya,” katanya.-AFP

Media Baharu