fb fb fb fb fb

Kereta api bawah tanah New York berlanggar, 24 cedera

Foto fail pada 29 November 2023 menunjukkan platform kereta api bawah tanah di daerah Brooklyn di New York/ AFP

NEW YORK, 5 Januari- Dua kereta api bawah tanah di New York berlanggar pada Khamis, mencederakan 24 orang dan menyebabkan suasana kecoh dalam kalangan penumpang sejurus sebelum waktu yang sibuk di bandar raya besar itu.

Puluhan kenderaan polis dan bomba mengerumuni kawasan itu untuk membantu ratusan penumpang yang terjejas keluar, manakala pengguna lain terpaksa mencari laluan alternatif kerana tiga laluan kereta api bawah tanah mengalami gangguan teruk.

Komander perkhidmatan perubatan kecemasan, Ian Swords, berkata tiada kematian dilaporkan dan tiada kecederaan serius dalam kalangan 24 yang cedera.

Kawasan perlanggaran terletak di tengah-tengah kejiranan Upper West Side yang mewah di Manhattan.

"Pada kira-kira jam 3 petang (2000 GMT), unit kami dimaklumkan mengenai dua kereta api berlanggar," kata komander bomba, Mike Meyers.

"Terdapat gangguan besar kepada perkhidmatan, manakala pasukan kecemasan membantu penumpang dan menjalankan siasatan selepas kereta api tergelincir berhampiran 96th Street," kata pengendali kereta bawah tanah New York City di X, sebelum ini Twitter. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI