fb fb fb fb fb

Israel terus membedil, 125 lagi terbunuh dalam tempoh 24 jam

Kenderaan tentera Israel bergerak di sepanjang jalan di Semenanjung Gaza berhampiran sempadan di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulanPalestin Hamas/ AFP

PALESTIN, 5 Januari- Kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas melaporkan, 125 orang terbunuh akibat pengeboman Israel dalam tempoh 24 jam lalu.

Kebakaran besar tercetus berikutan bedilan peluru berpandu regim Zionis di kawasan Deir al-Balah di tengah Gaza dan kem pelarian Al-Maghazi.

"Penduduk berfikiran mereka selamat di rumah sendiri, salah satunya penuh dengan kanak-kanak, namun masih dibom Israel.

"Terdapat kira-kira 30 orang. Tiba-tiba tembok rumah jatuh menimpa mereka... Apa yang anak-anak ini sudah lakukan?" kata seorang penduduk, Ibrahim al-Ghimri kepada AFP.

Kementerian kesihatan wilayah Palestin yang dikendalikan Hamas, berkata pengeboman Israel memusnahkan hampir keseluruhan bangunan di Gaza dan mengorbankan sekurang-kurangnya 22,438 nyawa.

Setakat ini, perang Israel-Palestin yang memasuki bulan ketiga, tidak menunjukkan tanda akan reda, sebaliknya semakin merebak di Asia Barat apabila Iran, Lubnan, Yaman dan Syria turut dilibatkan.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken kembali ke Asia Barat untuk lawatan keempatnya di rantau itu sejak serangan Hamas pada 7 Oktober lalu mencetuskan perang paling berdarah di Gaza.

Blinken akan mengadakan rundingan yang disifatkan sukar bersama pemimpin Israel mengenai 'langkah segera untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza', kata jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller.

"Kami tidak menjangkakan setiap perbincangan dalam kunjungan ini mudah. Jelas terdapat isu sukar yang dihadapi rantau ini dan pilihan sukar di hadapan," kata Miller.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara White House, John Kirby, menegaskan walaupun Israel boleh mencapai matlamat ketenteraannya, hasratnya untuk menghapuskan Hamas sama sekali masih diragui dapat dicapai.

"Kami percaya ia benar-benar satu matlamat yang boleh dicapai pasukan tentera Israel untuk... menewaskan kebolehan Hamas melakukan serangan di dalam Israel.

"Adakah anda akan menghapuskan ideologi itu? Tidak. Adakah anda mungkin akan memadamkan kumpulan itu daripada wujud? Mungkin tidak," katanya.

Peperangan Israel terhadap Hamas kini merebak menjadi konflik serantau yang lebih besar selepas serangan di Lubnan, yang diandaikan secara meluas dilakukan Israel.

Konflik itu turut mengakibatkan pembunuhan pemimpin Hamas, Saleh al-Aruri, yang dikebumikan pada Khamis dan diratapi orang ramai.

Hizbullah berikrar bahawa pelaku pembunuhan Saleh dan enam lagi anggota Hamas di wilayahnya tidak akan terlepas daripada hukuman; melabelkannya sebagai 'serangan serius ke atas Lubnan dan menyifatkan ia satu perkembangan berbahaya'. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI