fb fb fb fb fb

Putin tawar kewarganegaraan buat rakyat asing yang berjuang untuk Rusia

Penduduk rusia berjalan di hadapan papan iklan yang memaparkan sokongan kepada tentera rusia di wilayah Leningard/FOTO REUTERS

MOSCOW, 5 Januari- Presiden Rusia, Vladmir Putin mengeluarkan perintah membenarkan rakyat asing yang berjuang untuk negara tersebut di Ukraine memperoleh kewarganegaraan bersama-sama ahli keluarga yang lain.

Menurut perintah yang dikeluarkan pada Khamis, rakyat asing yang telah menandatangani kontrak atau apa yang dipanggil Moscow sebagai 'Operasi Khas Ketenteraan' di Ukraine boleh memohon pasport Rusia bagi diri sendiri, pasangan, termasuk anak-anak dan ibu bapa.

Bagi tujuan tersebut, mereka perlu menunjukkan bukti berupa dokumen yang menunjukkan persetujuan bagi menyertai operasi berkenaan minimum sekurang-kurangnya satu tahun.

Mereka yang layak termasuk individu yang telah menandatangani kontrak dengan angkatan bersenjata atau formasi tentera lain, satu istilah yang digunakan untuk kumpulan seperti organisasi upahan Wagner.

Langkah itu bertujuan untuk mewujudkan insentif tambahan bagi warga asing yang mempunyai pengalaman ketenteraan untuk memohon menyertai tentera Rusia.

Moscow tidak mengeluarkan data sebenar mengenai jumlah warga asing yang bertempur bagi pihaknya di Ukraine.

Reuters sebelum ini telah melaporkan mengenai tindakan rakyat Cuba yang mendaftar sebagai tentera yang menawarkan habuan bonus bersamaan lebih daripada 100 kali ganda purata gaji bulanan Cuba, dan tiga warga Afrika yang direkrut oleh Wagner, di mana dua daripadanya terbunuh dalam pertempuran.

Laporan perisikan AS berkata perang Ukraine telah menyebabkan 315,000 orang tentera Rusia terbunuh dan cedera.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD